Saturday, 27 June 2020

Ayat Magik Untuk Tenangkan Anak Meragam

Assalamualaikum semua

Setiap kali bercuti panjang selalunya anak akan meragam hari pertama hendak ke taska.

Itu biasa tetapi sebaiknya sebagai ibu bapa kita boleh buat persediaan awal untuk mencegah ia berlaku atau supaya lebih bersedia.

Alhamdulillah. Dapat bersama-sama anak lebih kurang tiga bulan kali ini bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP, Perintah Kawalan Pergerakan. Memang dah jadi impian lama nak work from home ni. Alhamdulillah Allah izinkan merasa walaupun untuk seketika.

Minggu depan hari Rabu 1 Julai 2020 anak-anak akan mulakan rutin harian mereka sebelum ini. Jadi ibu kena lebih buat persediaan mental dan fizikal.



10 ayat magik yang kita boleh gunakan untuk tenangkan anak-anak kita ialah seperti berikut : 

1. JANGAN CAKAP: “SSSHHH. DIAM!”

Cuba ini: “Ibu ada kat sini. Ibu kan sayang kamu. Tak payah susah hati lagi ya.” 

Tahukah anda, semasa anak-anak ‘buat perangai’ atau mengamuk, tubuh badan mereka mengalami respon stres di mana mereka berasa kurang selamat atas sebab-sebab yang mereka sendiri kurang pasti.

Dengan memberitahu anak bahawa mereka disayangi dan selamat di samping anda, ia tentu akan dapat membantu mereka untuk mengatasi emosi tersebut dengan baik. 


2. JANGAN CAKAP: “KENAPA KAMU NI ASYIK NAK MENGAMUK TAK TENTU PASAL?”

Cuba ini: “Jom kita cuba kira 1 sampai 10 sama-sama. Lepas itu kamu boleh beritahu Ayah apa yang berlaku.”

Mungkin anda pernah dengar bahawa ini merupakan sebuah teknik mengawal emosi yang telah dipraktikkan sejak bertahun-tahun lamanya. Menurut ahli psikiatrik melalui WebMD, 2 elemen utama yang membantu anak suka menangis dan mengamuk untuk mengawal emosi adalah – menangguhkan masa dan mengalihkan perhatian.

Dengan cara ini juga, ‘tenaga’ seseorang yang terkumpul akan terlepas secara perlahan-lahan.


3. JANGAN CAKAP: “JANGANLAH BUAT MACAM NI DEPAN ORANG RAMAI. MEMALUKAN!”

Cuba ini: “Mari kita cuba cari tempat yang lebih tenang.”

Ingat. Yang sedang dilanda emosi adalah anak, bukannya kita. Jadi, betulkan fokus kita untuk membantu mereka.

Maka, tak sepatutnya kita melibatkan emosi kita dalam hal ini. Apatah lagi menambah lagi ‘rasa bersalah’ anak dengan memarahi mereka di hadapan orang ramai. Silap hari bulan, makin teruk mereka meraung.


4. JANGAN CAKAP: “KENAPA PUKUL ADIK TU, DIA KAN KECIL LAGI!”

Cuba ini: “Kamu boleh menangis atau marah, tapi Ibu tak boleh biarkan kamu cederakan sesiapa ya.”

Mesej yang anda cuba sampaikan adalah mereka boleh menunjukkan emosi, tetapi mesti mengawal tindakan.

Ini akan membantu mereka untuk meluahkan perasaan, tetapi pada masa yang sama mengawal tindak-tanduk yang dilakukan.


5. JANGAN CAKAP: “KENAPA BALING MAINAN? KUTIP BALIK!”

Cuba ini: “Kalau Adik baling mainan, Ibu rasa Adik tak suka bermain dengannya lagi. Betulkah begitu?”

Melalui teknik ini, anda bukan saja cuba memulakan perbualan dengan anak, tetapi anda juga cuba memberitahu apa yang anda rasakan.

Perbualan seperti ini akan memberi peluang kepada anak untuk meluahkan pendapat mereka dan memberitahu apa yang sebenarnya membuatkan mereka tidak puas hati.


6. JANGAN CAKAP: “KAMU KAN DAH BESAR, JANGANLAH MENANGIS LAGI!”

Cuba ini: “Ibu dan Ayah pun kadang-kadang rasa sedih dan marah. Sabar ya, sekejap lagi kamu akan OK.”

Memberitahu anak bahawa mereka perlu menyembunyikan perasaan mereka apabila mereka semakin besar adalah salah. Padahal, semakin seseorang dewasa, semakin besar masalah yang mereka akan hadapi.

Dengan memberitahu mereka bahawa anda juga kadangkala berperasaan seperti mereka, sedikit sebanyak menunjukkan bahawa anda sedang cuba memahami perasaan mereka. Ia juga membantu anak untuk berasa selesa dengan diri sendiri.


7. JANGAN CAKAP: “KALAU KAMU TAK BERHENTI MENANGIS, AYAH TAK NAK BAWA KAMU KELUAR JALAN-JALAN PETANG INI.”

Cuba ini: “Tak perlulah bersedih lagi, kita kan nak keluar jalan-jalan petang ini.”

Kesilapan yang kita biasa lakukan adalah mengugut anak dengan sesuatu perkara yang mereka suka. Menurut laman web Psychology Today, walaupun pada awalnya nampak berkesan, tetapi sebenarnya anak anda lebih bijak daripada apa yang anda sangkakan.

Bukan itu saja, jika kita tidak konsisten terhadap apa yang kita ugutkan, mungkin anak akan cepat melabel kita sebagai ‘penipu’ dan ibu bapa mungkin terpaksa memikirkan muslihat lain untuk mengugut mereka. Dalam jangka masa panjang, hubungan dan keakraban boleh terjejas kerana anak-anak sukar mempercayai ibu bapa lagi.


8. JANGAN CAKAP: “SUDAH! PERGI MANDI SEKARANG!”

Cuba ini: “Kamu nak bawa Elmo atau Bear untuk mandi bersama?”

Dalam kebanyakan masa, anak suka menangis sebagai salah satu tanda protes dan cara mereka mahu mengawal situasi tersebut.

Dengan memberi pilihan, anda membantu anak untuk mengalirkan tenaga tersebut dan sekaligus memberi mereka peluang untuk ‘mengawal’ satu-satu keadaan.


9. JANGAN CAKAP: “IBU TAKKAN LAYAN KAMU SAMPAILAH KAMU BERHENTI MENANGIS.”

Cuba ini: “Ibu akan duduk di sini sampailah kamu bersedia untuk peluk Ibu.”

Semasa anak kecil sedang memberontak, penting untuk kita memberi mesej kepada anak bahawa kita akan sentiasa ada dengan mereka walau apa pun yang terjadi kerana perasaan mereka sebenarnya sedang goyah.

Kita boleh beri mereka ruang sebentar untuk bersendiri, tapi jangan terus ‘memulaukan’ mereka. Ini kerana, emosi mereka mungkin akan berasa lebih terganggu kerana mereka masih belum dapat berfikir tentang sebab-akibat secara matang.


10. JANGAN CAKAP: “KAMU NI MEMANG KERAS KEPALA, MENANGISLAH PUAS-PUAS!”

Cuba ini: “Nampaknya hari ini serba tak kena bagi kamu. Penat ya? Apa kata kita cuba tarik nafas sama-sama.”

Sebolehnya, jangan melabelkan anak sebagai malas, degil, atau apa saja perlakuan negatif. Sebaliknya, tekankan pada emosi mereka dan cuba bantu mereka mengatasinya dengan lebih tenang.

Kalau kita rasa dah tak boleh sabar dengan mereka lagi, cuba berhenti daripada bercakap kerana kita mungkin akan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Oleh itu, menarik nafas sedalam-dalamnya dapat membantu anda berdua untuk berasa lebih tenang.


Banyak tips lain yang boleh kita amalkan. Antaranya ialah kita cuba peluk mereka ketika mereka meragam. Berdasarkan pengalaman membesarkan empat anak yang lain-lain ragamnya kebiasaannya mereka ingin menarik perhatian kita. Anak-anak sanggup dimarahi asalkan mereka mendapat perhatian daripada ibu bapa.

Selain itu bagi memudahkan proses mendidik dan mengajar anak-anak ialah melalui contoh teladan, Sebagai ibu bapa kita perlu melakukan dan menunjukkan perbuatan yang baik-baik dan bagi anak-anak pula pastinya mereka lebih mudah meniru apa yang mereka lihat.



No comments:

Post a Comment