Sunday, 22 April 2018

Tips Ajar Anak Menggosok Gigi

Assalamualaikum semua

Macam-macam ragam nak mengajar anak menggosok gigi. Empat anak kesemuanya lain ragamnya.


Sebagai ibu bapa kita perlu tahu bagaimana cara untuk memberi kefahaman kepada anak-anak tentang kepentingan menjaga kebersihan gigi.

Bukan itu sahaja ia perlu dilakukan dengan cara yang menyeronokkan agar anak-anak tidak merasa tertekan.

Boleh dikatakan pada permulaannya kebanyakan anak-anak tidak menyukainya. Tanda-tandanya seperti mereka akan menangis atau melarikan diri untuk mengelak daripada gigi mereka digosok.

Ibu bapa haruslah mempunyai kesabaran yang tinggi. Kita perlu mengajar dan mendidik mereka sehingga umur enam tahun. 

Ia harus dimulakan seawal yang mungkin sesudah gigi sudah tumbuh. Tidak perlu tunggu gigi sudah penuh baru hendak mulakan, ia sudah agak terlambat. Kemungkinan ketika itu banyak gigi sudah mulai rosak. 

Walaupun ia bukan gigi kekal ia patut dijaga dengan baik untuk mengelakkan sakit gigi atau gusi melanda.

Kita boleh mulakan dengan menggosok gigi dengan kain yang bersih dan basah. Gosok kesemua gigi, gusi, lidah dan lelangit (bahagian atas dalam mulut).

Kemudian boleh juga guna berus gigi khas yang boleh dimasukkan ke dalam jari kita seperti gambar di bawah :


Sebelum anak pandai meludah boleh menggunakan berus gigi dan ubat gigi tanpa florida. Jadi ia selamat jika tertelan.

Seterusnya bila anak sudah pandai meludah boleh mulakan penggunaan berus gigi dan ubat gigi yang bersesuaian.

Pemilihan berus gigi yang sesuai dan menarik perhatian anak-anak jugak memainkan peranan yang penting untuk membuatkan ia menjadi aktiviti yang menyeronokkan.

Boleh memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih berus gigi yang disukai. Kebiasaannya kanak-kanak sukakan corak kartun.

Semasa memberus gigi boleh juga diselitkan dengan nyanyian lagu yang mereka suka. Akak suka nyanyikan lagu Omar dan Hana atau Didi and Friends untuk Nisa (setahun lima bulan). Mereka akan leka dan tidak sedar yang gigi mereka sedang dibersihkan.

Sedar-sedar dah pun siap.

Kadang-kadang sengaja buat lupa. Sekadar nak menguji mereka ingat atau tidak. Dah selesai mandi, mereka sendiri akan ingatkan kita " gosok gigi??? ". 

Ketika ini terbukti mereka sudah memahami apa yang perlu mereka buat dan kenapa perlu buat. Akmal (tiga tahun lapan bulan) yang selalu ingatkan akak..hihi

Yang liat sikit nak gosok gigi ialah Aqil. Walaupun sudah berumur lapan tahun sentiasa kena ingatkan dan periksa sudah gosok gigi atau belum. Kalau dibiarkan selalu jugak mengelat.

Humaira (sepuluh tahun lima bulan) walaupun sudah besar selalu jugak ingatkan supaya tidak lupa gosok gigi. Bangun pagi perut dah lapar. Walaupun belum mandi dia sudah faham kalau nak makan kena gosok gigi dulu (pernah nangis dulu sebab ayah tak bagi makan sebab tak nak gosok gigi). Semenjak kejadian tu alhamdulillah dia sudah faham.

Macam yang akak cakap memang lain anak lain ragamnya. Bukan senang tau nak mendidik dan mengajar anak-anak.

Yang paling utama bagi pendapat akak kira haruslah menunjukkan perbuatan dan teladan yang baik supaya menjadi contoh terdekat kepada anak-anak.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Dia sendiri pun jalan mengiring manakan si anak nak jalan lurus kan.

Jadi teruskan menjadi super hero kepada anak-anak.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua 😊












No comments:

Post a Comment