Tuesday, 3 April 2018

Anak Lambat Bercakap : Apa Nak Buat?

Assalamualaikum semua

Tengah buat apa tu? Sekadar nak berkongsi hasil pembacaan dan pengalaman sendiri yang mempunyai anak yang dikesan mempunyai masalah pertuturan seperti "Lambat Bercakap" atau "Speech Delay".

Muhammad Akmal Hafiz anak ketiga daripada empat adik beradik. Sekarang sudah berumur 3 tahun 8 bulan.

Membuat keputusan memberi lebih masa kepadanya untuk belajar bercakap walaupun sudah nampak ada kelewatan di usia dua tahun.

Memberi lebih masa hanya berpegang kepada dua faktor. 

Faktor pertama, anak yang pertama lambat bercakap pada mulanya tetapi bila sudah pandai terus boleh buat ayat lengkap, ayat dalam buku bahasa baku. Mungkin terlalu banyak terdedah kepada aktiviti menonton rancangan kartun di televisyen.

Faktor kedua sudah tentu menganggap perkembangan setiap anak tidak sama, ada yang normal ada yang cepat dan ada yang lambat.

Ketika umur tiga tahun sepatutnya anak : -

1) boleh bertutur atau bercakap melibatkan tiga hingga lima perkataan

2) boleh mengenal bahagian anggota badan

3) boleh menyebut nama sendiri

4) boleh berinteraksi dengan orang dewasa

Bagaimana nak tahu anak ada masalah pertuturan?

Dua tanda-tanda utama ialah anak tidak memberi reaksi atau berinteraksi jika dipanggil dan anak tidak gemar dengan aktiviti melukis dan menulis seperti kanak-kanak normal.

Jika sudah dikesan anak mempunyai ciri-ciri lambat bercakap apa nak buat? Rujuk la kepada yang pakar dan pada masa yang sama boleh mulakan dengan rangsang pertuturan atau percakapan yang lancar. 

Tujuh cara yang boleh dilakukan ialah :-

1) Rangsang anak untuk ajuk atau ulang apa yang kita cakap

2) Luangkan banyak masa berbual bersama anak. Menggalakkan anak mempelajari bahasa lain juga boleh membantu

3) Ajar anak bercakap dengan sebutan yang betul bukan pelat atau bahasa negeri. Ini untuk mengelakkan berlaku kekeliruan ketika mula bersekolah nanti

4) Larang anak sebut perkataan yang negatif. Perasan tak kadang-kadang perkataan yang kita tak pernah sebut pun boleh keluar dari mulut anak. Sebaik-baiknya terangkan maksudnya sebab selalunya anak main sebut jer mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan

5) Ajar anak bercakap perkataan positif seperti memohon maaf atau mengucapkan terima kasih. Selain itu kita perlu sentiasa memberi galakan sambil mengucapkan tahniah jika berjaya melakukan sesuatu

6) Ulangi bercakap perkataan yang sama setiap hari untuk memberi lebih pendedahan kepada anak

7) Kurangkan masa anak menonton televisyen dan bermain dengan gajet seperti telefon pintar terutamanya

Deria pendengaran juga sangat penting bagi memastikan perkembangan pertuturan berjalan dengan lancar.

Tidak hairan la baru-baru ini Akmal dirujuk kepada pakar telinga dan speech delay. Alhamdulillah sudah nampak kemajuan, walaupun sedikit tetapi cukup membahagiakan ibu ayah.

Kerjasama daripada kita sebagai ibu bapa amat-amat diperlukan bagi menjamin kelancaran anak-anak bertutur secara normal.

Jadi tak mau malas-malas ye, biar la susah-susah dahulu senang-senang kemudian dengan izinNya.

Semoga bermanfaat untuk semua.


No comments:

Post a Comment